• Khai­rul Anwar Rahmat
1 / 1
SHAH ALAM –  Tiada keperluan untuk pihak berkuasa menahan pasport milik Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak kemungkinan Ketua Pembangkang itu melarikan diri ke luar negara sebelum keputusan rayuan akhir kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dibacakan pada 10 Februari ini.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya percaya Anwar juga menantikan saat ini untuk mendengar keputusan itu sama ada berpihak kepada beliau atau sebaliknya.

“Saya rasa tidak perlu untuk tahan pasport beliau, kerana saya percaya Anwar seorang pemimpin yang matang dan tidak akan lari pada hari keputusan itu dibacakan.

“Bukan beliau sahaja, seluruh dunia juga nantikan jawapan terhadap polemik yang  berlaku sejak bertahun lamanya. Anwar tahu akan tanggungjawab beliau untuk berdepan dengan tuduhan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Khairul berpendapat pihak berkuasa termasuk polis dan Imigresen perlu memantau pergerakan Ketua Pembangkang itu.

“Saya juga berharap mahkamah tidak membacakan keputusan tersebut selagi tertuduh tiada di ruang perbicaraan. Perkara ini menjadi amalan di negara-negara lain juga kerana ini melibatkan keputusan terakhir,” katanya.

Kelmarin, sebuah NGO menggesa pihak berkuasa menahan pasport milik Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak kemungkinan Ketua Pembangkang itu melarikan diri ke luar negara.