• Isu kalimah ALLAH
1 / 1
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri dan kerajaan hari ini berjaya dalam permohonan mereka untuk menggantung keputusan mahkamah yang memerintahkan supaya lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi Kalimah Allah dipulangkan kepada seorang wanita beragama Kristian.
 
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa dan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
 
Prosiding itu turut dihadiri peguam Lim Heng Seng dan Annou Xavier, bertindak bagi pihak Jill Ireland Lawrence Bill.
 
Andi ketika ditemui media berkata mahkamah membenarkan permohonan menteri itu dan kerajaan untuk menggantung keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi di sini
pada 21 Julai tahun lepas sementara menunggu kes itu didengar di Mahkamah Rayuan pada 10 Februari ini. 
 
"Dalam kes ini, wujudnya hal keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan perintah itu," katanya.

Pada 21 Julai 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill bagi mendapatkan satu perintah mandamus untuk mengarahkan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu (tahun 2008) mengembalikan semula semua CD yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN).
 
Dalam keputusan itu, Zaleha juga membenarkan permohonan Jill bagi membatalkan keputusan KDN yang menahan dan menyita lapan cakera padat milik wanita dari Sarawak itu.
 
Cakera padat itu dirampas pada 11 Mei 2008 di bangunan lama Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang.
 
CD berkenaan antara lain, mengandungi bahan bertajuk 'Cara Menggunakan Kunci Kerajaan ALLAH', 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan ALLAH' yang dibawa dari Indonesia.
 
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 20 Ogos 2008, Jill yang merupakan seorang kerani menuntut mahkamah mengetepikan keputusan kementerian merampas CD terbabit dan perintah untuk mengarahkan kementerian itu mengembalikan CD berkenaan. - Bernama