• Mohd Amar Nik Abdullah Mohd Amar Nik Abdullah
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Kelantan menafikan ada pertemuan berlaku antara pihaknya dan Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan kerajaan campuran selepas pasca banjir di negeri itu.
 
Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa maklumat itu mungkin sengaja direka dan diada-adakan sedangkan pihaknya hanya menjalinkan kerjasama pentadbiran dengan kerajaan pusat.
 
"Saya tidak tahu, saya tiada maklumat, memang tiada, mungkin kena tanya dia, betul atau tidak, mungkin direka, kita pun tak tahu," katanya kepada pemberita selepas Wacana Sinar Harian ke-34 bertajuk Kelantan Pasca Banjir di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.
 
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata lagi, kerjasama antara dua kerajaan itu hanya dalam aspek pentadbiran untuk menyelesaikan masalah banjir.
 
"Kita tidak pernah bincang pun isu politik, mesyuarat kita sama ada di depan atau belakang, kita cakap hanya bincang isu banjir saja.
 
"Saya hanya jawatankuasa biasa sahaja, Timbalan Menteri Besar hanya pentadbiran, dalam parti saya hanya orang biasa, bukan level saya, kalau hendak bincang apa-apa pun bukan level saya," ujarnya.
 
Ditanya tentang kemungkinan pimpinan tertinggi Pas akan terbuka hati untuk menerima cadangan kerajaan campuran, beliau berkata perkara itu di luar kemampuannya.
 
"Kita tak tahu, kita hendak beritahu sejak dulu lagi Pas sentiasa terbuka, sikap ini ditunjukkan sejak dulu lagi oleh Tok Guru (Datuk )  sendiri, dengan pemimpin Umno dan Kerajaan Persekutuan.
 
"Kita tidak pernah tutup pintu untuk bincang tentang kepentingan negara dan umat Islam, itu tidak jadi masalah bagi kita kerana isu ini mengatasi politik, bukan soal politik kepartian, tetapi kepentingan umat," katanya lagi.