• Muhyidin Muhyidin
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu mendakwa kerajaan negeri cuba sabotaj program Himpunan Harapan Semua (Harap 3.1) anjuran parti itu apabila kerajaan negeri mengadakan Karnival Transformasi Terengganu Baharu (TTB) 2015 di tempat dan tarikh yang sama.

Setiausaha Pas Terengganu, Muhyidin Abd Rashid berkata, kedua-dua program itu diadakan dengan jarak tidak jauh antara satu sama lain, iaitu kira-kira 500 meter pada 29 hingga 31 Januari ini di Telaga Daing, Seberang Takir.

Apa yang dikesalkan katanya, karnival itu seolah-olah diwujudkan selepas pihaknya menguar-uarkan program anjuran parti itu pada awal bulan ini selepas diputuskan tarikh secara rasmi berdasarkan perancangan yang dibuat tahun lalu.

“Tindakan ini kebudak-budakan. Ada banyak tarikh untuk buat karnival tetapi apabila kita isytihar tarikh kita, tiba-tiba naik ‘banner’ menyatakan satu program hampir sama dan tempat hampir sama di situ,” kata.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memilih tapak berhampiran sedangkan kerajaan mempunyai premis yang lebih baik dan banyak di sekitar Dun Seberang Takir.

“Saya kesal dengan tindakan macam ini. Kita harap pihak terbabit kaji balik program ini untuk ditangguhkan ke tarikh dan masa lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh ketika menjawab dakwaan tersebut, menafikan wujudnya sabotaj oleh kerajaan negeri terhadap program Pas.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sendiri tidak tahu menahu mengenai program Pas yang bakal diadakan di tempat dan masa yang sama dengan penganjuran Karnival TTB 2015.

Menurutnya, Karnival TTB 2015 dibuat sebagai mempromosikan Kuala Nerus sebagai daerah baharu di negeri ini.

“Kita sudah rancang awal tahun lagi dan tidak tahu mengenai program Pas. Jadi, tidak timbul isu sabotaj. Lagipun kita bukan buat di Telaga Daing sahaja tetapi turut adakan program karnival IPT di Stadium Gong Badak pada tarikh sama,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya tetap meneruskan karnival itu sebagaimana dirancang sambil memberitahu turut menggunakan khidmat Polis Diraja Malaysia dan Rela sepanjang program berlangsung.

Katanya, dakwaan Pas itu dilihat cuba mencetuskan provokasi di kalangan rakyat, sedangkan tidak ada isu timbul kerana menganggap penetapan tarikh berlaku secara kebetulan.

Karnival TTB 2015 akan berlangsung di pekarangan Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir dan bakal dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman pada 29 Januari ini.