• Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Hongwei di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Hongwei di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
PUTRAJAYA - Lebih 300 rakyat China menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum ke negara ketiga dan seterusnya memasuki Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan militan IS.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Hongwei dalam pertemuan di pejabatnya di sini, hari ini.
    
Ahmad Zahid berkata, Kuala Lumpur dan Beijing memandang berat isu ancaman keselamatan dan komited untuk mengekang masalah itu secara lebih teliti.
    
"Walaupun ada perjanjian antara Malaysia dan China untuk atasi masalah keganasan dengan tindakan menangani keganasan, tapi masalah ini berat.
    
"Ini kerana kita dapati terdapat jalinan di peringkat antarabangsa antara pengganas-pengganas dari China dengan pengganas-pengganas dari negara lain di rantau Asia Tenggara," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Meng itu.
    
Ditanya mengenai kemungkinan kumpulan rakyat China itu mempunyai jalinan dengan penduduk tempatan di negara ini, Ahmad Zahid berkata, buat masa ini tiada maklumat mengenainya diterima.
   
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata buat masa ini belum ada sebarang cadangan atau perbincangan untuk memberikan visa percuma kepada pelancong dari negara lain kecuali China. 
    
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas berkenaan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara pada Selasa, berkata, pemberian visa secara percuma kepada pelancong antaranya dari China bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan.
    
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata, pelancong dari negara Tembok Besar itu yang berhasrat datang ke Malaysia tetap perlu memohon visa.
    
"Visa tetap perlu dipohon. Tetapi yang dikecualikan (percuma) adalah bayaran sebanyak 80 Yuan Renminbi yang dikenakan ketika ini.
    
Katanya, kabinet memutuskan bahawa pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan pemberian visa percuma itu akan dibuat selepas semua peraturan dan syarat-syarat diperhalusi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
    
"Selepas itu kita akan umum secara rasmi di Kedutaan Malaysia di China dan semua Konsulat Jeneral Malaysia di China," katanya. - Bernama