• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 / 1
SEREMBAN - Ketua Pembangkang hari ini bukan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ia berikutan bekas Perdana Menteri itu dilihat lantang mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, berbanding PR sendiri.

“Sekarang Umno pula jadi masalah bila yang veteran lawan yang muda. Sebab itu, ketua pembangkang di Malaysia sekarang adalah Tun Mahathir dan bukan lagi Anwar sebab dia yang banyak kecam Najib.

“Sekarang bos yang disanjung sejak 20 tahun lalu, kini dia yang paling mahu Najib berhenti. Kalau kita lihat di laman web dan Twitter Tun Mahathir, banyak yang dia hentam Najib,” katanya pada Ceramah Rakyat Hakim Negara di padang Taman Desa Rhu, Sikamat di sini, malam kelmarin.

Mohamad berkata, tindakan Mahathir itu menunjukkan bukan calang-calang orang yang mengkritik pemerintahan Najib hari ini dan rakyat seharusnya boleh membuat penilaian.

Sementara itu, beliau berkata, BN kini berada dalam keadaan 'tenat' berikutan masalah parti komponennya iaitu MIC dan MCA. “Tiada jalan lain untuk rakyat buat perubahan.

MIC bukan lagi parti, tapi akan diswastakan kepada Umno. MCA pula ada, tapi sudah ditelan zaman ‘ibarat gerakan kubur tidak bertanda’.

“Jangan BN berpecah, kita pun berpecah. Sebab itu kita perlu bersatu padu sekarang dan inilah masa terbaik untuk PR mengambil alih pentadbiran negara,” katanya.