• Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada perjumpaan Anak Muda Malaysia di Bangunan Persatuan Hokkein Selangor dan Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada perjumpaan Anak Muda Malaysia di Bangunan Persatuan Hokkein Selangor dan Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
KUALA LUMPUR - Peguam pendakwa raya kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap semua anak muda yang mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan pihak berkuasa juga harus melakukan tindakan sama dan bukan sekadar memberi amaran.
 
"Hari ini Shafee mula mengeluarkan kenyataan keputusan bila dia mengatakan Datuk S.Ambiga patut diambil tindakan kerana mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa Umno-BN.
 
"Mesej kita mudah, selagi mana mesej ini diulangi oleh rakyat Malaysia, kita hendak tengok sama ada Ketua Polis Negara, Peguam Negara atau Shafee sendiri akan ambil tindakan atau tidak.
 
"Kalau dia hendak sumbat kita dalam penjara, saya boleh jamin mereka tidak boleh sumbat semua anak muda dalam penjara," katanya ketika berucap pada perjumpaan Anak Muda Malaysia di Bangunan Persatuan Hokkien Selangor, di sini, hari ini.
 
Terdahulu, Shafee yang mewakili kerajaan dalam pendakwaan rayuan kes Liwat II mahu bekas presiden Majlis Peguam itu didakwa kerana menghina mahkamah kerana mengkritik badan kehakiman.
 
Pada 13 Februari lalu, Ambiga mengkritik Shafee kerana terus menyerang Anwar walaupun selepas kes itu selesai dengan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.
 
Mahkamah tertinggi itu mengekalkan sabitan kesalahan terhadap Anwar dan hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
 
Ambiga pada Jumaat berkata, Shafee melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat apabila beliau menyerang seorang tertuduh selepas mahkamah menyampaikan penghakiman.