• Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
SHAH ALAM - Sikap DAP yang 'marah-marah' terhadap Pas sama seperti sikap anak kecil yang tidak dapat apa dimahukan mereka.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang menyindir rakan komponennya dalam PR itu berkata, ketidakpuasan hati DAP terhadap Pas juga tidak bermakna Pas menzalimi atau tidak berlaku adil kepada rakyat Malaysia atau DAP.

"(Kemarahan dan ketidakpuasan hati itu) hanyalah kerana Pas gagal memenuhi kehendak DAP.

"Samalah macam anak-anak yang menghentak-hentak kaki tak puas hati di depan ibunya. Ia soal tak dapat apa yang dimahukan. Itu sifat semula jadi anak-anak kecil. Masalah agungnya ialah DAP ni bukan anak-anak lagi," katanya dalam status terbaharu di Facebook beliau, semalam.

Nik Mohamad dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo pada Ahad lalu bahawa Pas bukan lagi sebahagian daripada PR jika tetap bertegas membentangkan rang undang-undang pindaan hudud  pada persidangan Dun Kelantan pada 18 Mac ini.

Kenyataan Gobind itu diselar pemimpin Pas yang menegaskan akan tetap meneruskan perancangan mereka bagi melaksanakan hukum hudud yang sudah lama tertangguh. 

Senada dengan Nik Mohamad Abduh, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak perlu melayan provokasi sedemikian dan Kerajaan Kelantan harus mara ke arah memastikan undang-undang hudud dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Menurutnya, walaupun ditentang ahli komponen PR dalam isu berkenaan, kerajaan negeri tidak harus berundur.
“Saya amat optimis pimpinan dalam PR akan menangani isu ini dengan matang dan bijaksana. Saya ulangi pendirian Pemuda Pas Kelantan bahawa hudud adalah antara agenda teras perjuangan Pas khususnya di Kelantan,” katanya, semalam.
Mengenai kenyataan Gobind, Ahmad Fadhli berkata, undang-undang hudud Enakmen Kanun Jenayah Syariah II telah diluluskan Dun Kelantan sejak 1993 lagi iaitu 15 tahun sebelum wujudnya PR pada 2008.