• Bersama Keluarga Reaksi spontan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama keluarganya dirakamkan ketika di rumahnya Bukit Segambut sebelum ke Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan Liwat II, hari ini. Foto: Rosli Talib/Sinar Harian.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengemukakan petisyen pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap sabitan kesalahan kes liwat II Ketua Pembangkang itu. 
    
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata petisyen itu telah diserahkan kepada pihak istana di Istana Negara pada kira-kira pukul 3.30 petang ini.
 
Petisyen telah dikemukakan di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
    
Mengikut peraturan itu banduan jika hendak, boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja atau Yang Dipertua Negeri seberapa segera selepas sabitan. Kemudiannya selepas tiga tahun dari tarikh sabitan dan selepas itu, lat dua tahun.
Sementara itu, pihak Istana Negara mengesahkan telah menerima petisyen itu petang ini. 
 
Tian Chua berkata petisyen itu dibuat atas faktor bahawa keluarga Anwar percaya ada penyelewengan dalam sistem pengadilan ketika dia (Anwar) disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 34. 
 
"Dengan ini petisyen berkenaan meminta pihak istana campur tangan bagi memberi pengampunan kepada Anwar," katanya.
 
Tian Chua berkata satu salinan petisyen telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini petang ini.
 
Naib Presiden PKR itu menjelaskan bahawa petisyen itu dikemukakan atas dasar mendapatkan keadilan untuk Ketua Pembangkang itu dan bukan atas dasar kerana mahu kedudukan Anwar sebagai anggota parlimen Permatang Pauh dipertahankan.
 
"Kedudukannya sebagai anggota Parlimen bukan lagi isu, terpulang kepada Speaker Dewan mahu membatalkannya, ini soal keadilan kepadanya," katanya. - Bernama