• Wan Azizah patut tanding Permatang Pauh
1 / 1
[KEMASKINI] TIDAK sampai seminggu lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disahkan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, juga jawatan ketua pembangkang mengikut Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan setelah disabitkan dengan kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Persekutuan 10 Februari lalu.

Pakatan setakat ini bagaimanapun belum membuat apa-apa keputusan mengenai siapa yang akan mengambil alih tempat Anwar sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

Partinya, PKR juga belum membuat keputusan mengenai siapa calon yang akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Bagi pemerhati, keputusan untuk memilih ketua pembangkang kali ini tidak semudah dahulu. Ini kerana hubungan antara parti dalam pakatan pembangkang pada masa ini diketahui tidak begitu bahagia.

Dalam keadaan ini, sudah pasti tidak mudah untuk dibuat keputusan siapa yang paling layak dalam kalangan pemuka parti untuk mengetuai wakil mereka di Parlimen, yang boleh diterima baik oleh semua pihak.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali baru-baru ini ada membuat kenyataan mengenai kesediaan beliau untuk dipertimbangkan sebagai ketua pembangkang.

Memanglah tidak salah bagi Azmin untuk membuat kenyataan seperti itu namun bagi pemerhati, kenyataannya itu sedikit sebanyak boleh mengundang perdebatan.

Ini kerana beliau sudah sedia memikul tanggungjawab berat sebagai menteri besar yang memerlukan sepenuh komitmen dan tumpuan.

Selain itu, ada juga yang mempersoalkan, apakah dengan kedudukan sebagai timbalan presiden parti, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak boleh dianggap sebagai orang yang paling layak untuk dilantik sebagai ketua pembangkang sedangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tentu bagi ahli partinya lebih sesuai untuk dipertimbangkan.

Apakah pakatan begitu terdesak untuk memilih ketua pembangkang hingga seseorang yang sudah sedia memikul tanggungjawab yang begitu berat, dan hanya berkedudukan sebagai orang nombor dua parti harus dilantik ke jawatan yang begitu penting di Parlimen?

Apabila disuluh kepada Abdul Hadi pula, laluannya juga tidak mudah. Hubungan dingin dengan DAP pada masa ini terutama yang berkaitan dengan pendirian Pas mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan hampir pasti mempengaruhi keputusan parti itu untuk menolaknya.

Bagi DAP, hal yang berkaitan undang-undang hudud tidak boleh dipandang ringan kerana isu hudud akan mempengaruhi penerimaan pengundi Sabah dan Sarawak terhadap misi mereka yang dipacu bersama PKR untuk menakluk dua negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana kedua-dua negeri itulah yang jadi penyelamat kerajaan BN pada pilihan raya lalu dan kejayaan menguasai Sabah dan Sarawak akan membuka seluas-luas laluan untuk pakatan ke Putrajaya.

Kerana itu, jika DAP mahu memberi muka kepada Pas, parti itu perlu dipastikan untuk tidak meneruskan cadangan melaksanakan hudud di Kelantan.

Atas kepentingan itu jugalah Lim Kit Siang baru-baru ini sampai mengajak Pas menangguhkan dahulu cadangan melaksanakan undang-undang Islam itu dengan DAP sendiri sedia untuk menangguhkan pilihan raya PBT hingga 2023 bagi meredakan konflik antara dua parti itu sekali gus mengukuhkan semula hubungan dalam pakatan.

Begitupun di pihak Pas, pandangan Kit Siang tetap disambut dingin apabila Abdul Hadi dalam satu kenyataan, menyatakan komitmen parti itu untuk meneruskan usaha melaksanakan hudud yang menjadi salah satu amanat Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia 12 Februari lalu.

Meskipun kenyataan itu tidak secara khusus menjawab apa yang disuarakan oleh Kit Siang namun secara tidak langsung Abdul Hadi mahu menegaskan, itulah pendirian Pas yang muktamad dan tidak memerlukan sebarang takwilan lagi. Hudud tetap akan dilaksanakan.

Tergesa-gesa

Ketegasan Abdul Hadi mendorong Kit Siang sekali lagi mengingatkan Pas menerusi kenyataannya yang disiarkan akhbar semalam bahawa pemimpin Pas itu sebelum ini pernah berjanji untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam itu secara tergesa-gesa.

Justeru dalam keadaan ini, mudah untuk dijangka bahawa DAP hampir pasti akan menolak sebarang cadangan untuk mengangkat Abdul Hadi ke kerusi  ketua pembangkang. Tambahan pula dalam kalangan parti pembangkang, Pas mempunyai paling sedikit kerusi (21) berbanding DAP (37)  dan PKR (30).

Jika dibuat undian, Abdul Hadi yang turut berhadapan dengan isu penolakan dalam parti juga tidak dapat dijamin akan mendapat sokongan sebulat suara dari dalam partinya sendiri.

Golongan yang menentang presiden dalam Pas kini sudah cukup berani untuk memanggung kepala, bukan seperti dahulu lagi. Abdul Hadi sudah berani dicabar secara terang-terangan oleh ahli Pas sendiri.

Dalam hierarki kepimpinan parti demokratik sosialis seperti DAP, setiausaha agung yang kini disandang oleh Lim Guan Eng adalah jawatan yang tertinggi, lebih tinggi daripada pengerusi.

Dari segi kelayakan, Guan Eng sebagai orang nombor satu parti, layak untuk dilantik sebagai ketua pembangkang atas kapasitinya selaku ahli Parlimen Bagan.

Namun seperti Azmin, kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mungkin akan diambil kira  hingga berupaya merendahkan markah untuk beliau dipilih sebagai pengganti Anwar.

Retak

Pemboikotan yang mungkin berlaku di pihak Pas terhadap Guan Eng dijangka tidak akan menjejaskannya kerana selain wakil DAP yang majoriti, beliau dijangka akan dapat sokongan penuh daripada PKR.

Dalam kalangan ahli Parlimen Pas juga dijangka akan ada beberapa yang memberi sokongan kepada Guan Eng dan tidak mustahil untuk mereka menolak presiden parti sendiri jika ditakdirkan berlaku pertembungan.

Berbanding dengan Azmin dan Abdul Hadi, Guan Eng dilihat mempunyai lebih kekuatan untuk diangkat ke jawatan ketua pembangkang.

Namun apakah itu boleh dianggap keputusan yang terbaik? Jawapannya, tidak.

Sama ada Guan Eng atau Abdul Hadi yang dipilih, ia tidak akan berupaya untuk memperbaiki hubungan retak menanti belah antara Pas dengan DAP malah keadaan yang semakin buruk mungkin tidak akan dapat dielakkan.

Dalam keadaan ini, setelah tiadanya Anwar dalam kepimpinan yang mungkin selama ini dilihat sebagai pengimbang, pakatan tidak mempunyai pilihan selain mencalonkan semula Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding semula di Permatang Pauh, sekurang-kurangnya guna untuk meneutralkan semula keadaan.

Pedulikanlah sama ada beliau berkesan atau tidak ketika memegang jawatan ketua pembangkang sebelum ini tetapi pelantikan semula beliau penting untuk terus menjadi suara Anwar memimpin pasukan pembangkang, dan yang lebih penting, boleh diterima oleh kedua-dua Pas dan DAP.

Kerana itu, Wan Azizah harus diterima untuk bertanding semula di Permatang Pauh. Anaknya, Nurul Nuha yang disebut-sebut akan mengambil alih tempat bapanya sejak seminggu lalu, harus bersabar dahulu.

Orang Permatang Pauh saya yakin tidak kisah pun alasan Kak Wan meletak jawatan pada 2008 untuk jaga cucu.