• Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
SHAH ALAM -  Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sebagai orang politik, jika mahu selamat, mereka perlulah menjadi orang beriman dan jangan sesekali merancang jahat ke atas para ulama.

Tanpa merujuk kepada mana-mana ahli politik, Nik Abduh berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada dirinya dan rakan ‘seperjuangannya’.

“Tazkirah ini umum, saya khususkan buat rakan seperti saya iaitu ahli politik,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata golongan ulama akan sentiasa dilindungi ALLAH daripada kejahatan musuh.

“ALLAH pasti mempertahankan para ulama yang mengepalai orang-orang yang beriman daripada segala kejahatan musuh luar dan dalam. Kota mereka terlalu kukuh untuk dirobohkan..,” katanya.

Kenyataan terbaru ini dilihat merujuk kepada kemelut yang melanda Pas apabila dikatakan wujudnya komplot jahat untuk menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Phahrolrazi nafi Pasma jadi dalang]

Terbaru, Abdul Hadi tanpa merujuk mana-mana pihak mengingatkan ahli Pas tentang bai'ah dan wala' dalam perjuangan parti Islam itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi ingatkan ahli Pas jangan khianat]

Gabungan PR juga dilihat semakin bergolak mutakhir ini termasuk dalam isu hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).