• Ibu sebak anak jadi calonSuhaimi (baris dua, kanan) bersama adik-beradiknya.
 1 / 1 
PERMATANG PAUH - Rasa sebak. Itu yang mampu diucapkan oleh seorang ibu apabila anak yang dikandung dan dididik mendapat kepercayaan masyarakat untuk menjadi calon BN yang akan bersaing di kubu kuat PKR pada PRK Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Che Jan Ahmad, 70, berkata, bukan pangkat atau darjat, tapi kepercayaan orang terhadap anaknya membuatkan dia terharu.

“Alhamdulillah, itu sahaja yang makcik dapat katakan. Perasaan sebak dan gembira datang bercampur baur apabila tahu dia dicalonkan. Menang atau tidak bukan perkara utama tapi kena ingat, apabila orang pilih kita, makna orang percayakan kita.

“Makcik harap dia dapat berusaha bersungguh-sungguh, cuba laksanakan kepercayaan orang terhadap kita dengan sebaiknya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Guar Jering di sini, semalam.

Menurut Che Jan, perangai anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang paling disenangi ialah sering memeluknya setiap kali bertemu.

"Waktu bila pun jumpa, mesti dia datang dan peluk makcik. Begitulah perangainya, boleh dikatakan setiap kali jumpa, macam tu.

"Biarpun sibuk dengan tugasnya dalam politik atau kerjanya sebagai kontraktor, tanggungjawab sebagai anak, dia tak sesekali lupa," katanya.

Menurut wanita ini lagi, sifat lain yang paling menonjol dalam diri Suhaimi ialah gemar membaca pelbagai bahan ilmiah.

“Dia suka membaca, boleh katakan setiap masa dengan buku sahaja, nak kata sembang kosong atau bermain, jarang sekali.

“Arwah ayahnya, seorang yang amat pentingkan pendidikan kepada anak-anaknya dan Suhaimi antara anak yang warisi sifat ayahnya itu,” kata Che Jan mengimbau nostalgia bersama suami, Sabudin Mat yang meninggal dunia tiga tahun lalu.