• Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim
 1 / 1 
ROMPIN - Pas berusaha habis-habisan untuk merayu undi daripada peneroka Felda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin termasuk menganjurk perhimpunan peneroka Felda selama dua hari di Felda Keratong 4, bermula esok.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menafikan yang pengundi dari 14 penempatan Felda di kawasan Parlimen Rompin meliputi 51.51 peratus daripada 53,294 pengundi di kawawan itu, menjadi fokus utama parti dalam pilihan raya kecil itu.


Perhimpunan itu, yang akan dirasmikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga meliputi peneroka dari seluruh Semenanjung dengan program seperti dialog dengan peneroka, sukan rakyat dan ekspo perdagangan, kata beliau pada sidang media oleh parti itu di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata parti itu juga berusaha menarik sokongan daripada kaum nelayan dari kawasan Dun Tioman termasuk Pulau Tioman dan maasyarakat Orang Asli di kawasan Bukit Ibam.


Selain isu-isu semasa seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), parti juga akan membangkitkan isu mengenai aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Ibam dan pembanguan bandar baharu di Rompin, kata beliau.

Mengenai kurangnya poster-poster parti dalam  kempen pilihan raya kecil sekarang, beliau berkata Pas lebih memberi tumpuan kepada media sosial baharu yang menurut beliau mempunyai sasaran yang lebih besar selain berkempen secara bersemuka.


Beliau berkata parti telah membawa masuk 5,000 pekerja kempen dalam usaha untuk berkempen bagi calon parti Nazri Ahmad.

Calon BN, Datuk Hasan Arifin ditentang oleh Nazri pada pilihan raya kecil itu yang diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Pengundian awal ialah pada 30 April sementara pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini. - Bernama