• Dr MahathirDr Mahathir
 1 / 1 
SHAH ALAM – Veteran Umno Malaysia menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan mengkritik negara sendiri kepada media asing sebagai tidak sayang kepada parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Dr Mahathir sanggup melihat Umno menjadi kucar kacir dan terkubur sebagaimana yang pernah berlaku di zaman beliau menjadi presiden apabila Umno pernah diharamkan.

“Beliau juga sudah tidak sayang lagi kepada negara ini dan mahu melihat politik negara ini tidak stabil. Beliau juga sudah tidak sayangkan bangsa Melayu dan mahu melihat Melayu terus berpecah dan menjadi minoriti dalam majoriti. Malah tindakan Dr Mahathir akan membuka jalan kepada runtuhnya kuasa Melayu di negara ini.

“Biar apa pun tindakan Dr Mahathir sudah pasti akan merugikan Melayu dan Umno. Dr Mahathir telah memilih untuk melihat Melayu dan Umno berkecai. Kalau itulah pilihannya, maka Dr Mahatahir akan dikenang sebagai tokoh yang merosakkan Umno dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Veteran amat kesal dan kecewa dengan tindakan Dr Mahathir dan menyifatkan tindakannya mengulangi perbuatan timbalannya dahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini turut menggunakan media asing memburukkan negara dan kepimpinannya.

“Veteran tidak menyangka Dr Mahathir sanggup merendahkan martabatnya sebegitu rupa semata-mata kerana marah dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Tindakan itu hanya kerana untuk memuaskan hati beliau yang mahu melihat Najib berhenti sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno,” katanya.