• ABDUL HADI AWANG
1 / 1
SHAH ALAM – Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah Pas, akan menyaksikan ‘tenggelamnya’ pemimpin tertinggi parti yang bersama parti atau pertubuhan lain,” demikian ujar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Peringatan tersebut disampaikan menerusi satu surat terbuka kepada ahli Pas yang dipapar di ruangan Facebooknya.

Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak disebutkan dalam isi kandungan surat tersebut.

"Setiap ahli Pas mestilah bersama dengan jemaah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

“Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah Pas, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

"Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu ALLAH dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakal kepada ALLAH," katanya.

Menurutnya lagi, beristiqamah bersama akidah perjuangan Islam adalah berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia.

“Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada ALLAH dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan harus.

“Percaya kepada janji ALLAH daripada dunia sehingga akhirat, walau pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan pancaindera. Perkara akidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apa pun dugaannya,” katanya lagi.