Belum ada lagi pertemuan rasmi Pas-Umno
KUALA LUMPUR - Belum ada pertemuan rasmi di antara Umno dan Pas
walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka ruang
bagi kedua-dua parti itu untuk menjalin kerjasama.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata:
"Setakat ini tiada pertemuan rasmi diadakan antara kedua-dua pemimpin
tetapi mungkin ada pemimpin (lain) kedua parti yang sudah berjumpa."
Bagaimanapun, fokus utama buat masa ini adalah penyatuan dalaman parti,
katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas sambutan Hari
Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2015 di Auditorium Wisma Pertahanan
di sini hari ini.
"Yang penting bagi Umno ialah menjaga rumah tangga kita...kita kena
pastikan bahawa Umno itu kuat...pemimpin-pemimpin parti bersatu dan di
bawah tidak bercanggah," tambah beliau, yang juga Menteri Pertahanan.
Hishammuddin berkata aspirasi itu adalah selari dengan apa yang dimahukan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tanya, nak Umno atau DAP?]
"Kita mesti ada had dan batasan dalam berpolitik dan perkara yang
menyentuh keselamatan, Islam dan kedudukan orang Melayu...saya rasa
sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan pertimbangan politik untuk
lagenda yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata apa yang berlaku di dalam Umno adalah sebagai proses
pendewasaan politik yang membina dan terserah kepada mana-mana pihak
untuk menerimanya ataupun tidak. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment