Najib hulur tangan silaturrahim ketika Umno tenat
SHAH ALAM - Pimpinan Pas tidak pernah menentang sebarang bentuk
kerjasama dengan mana-mana pihak kerana ianya adalah perintah ALLAH.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata,
kerjasama itu perlulah tidak mengorbankan dasar dan perjuangan Pas
semata-mata meraih kemenangan pilihan raya sahaja.
"Pas sedia bekerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah,
salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaan, perjanjian yang tidak
ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem
federalisme yang tidak dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, hari
ini.
Beliau mengulas ucapan penggulungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun
Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2015 yang menghulurkan tangan
silaturrahim kepada Pas untuk membangunkan negara berlandaskan syariat.
Najib berkata, sikap Pas yang tidak menolak Bajet 2016 yang
dibentangkan pada Oktober lalu membuktikan tanda-tanda parti Islam itu
mahu bekerjasama dengan Umno.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setiap kali seruan penyatuan dan
perpaduan itu dilaung, ketika itulah Umno dilihat tenat dan goyah.
"Tidak pernah lagi suara penyatuan dilaungkan ketika mereka yang berkuasa dalam keadaan selesa.
"Hari ini, isu penyatuan kembali hangat apabila Najib menghulurkan tali
silaturrahim di tengah-tengah perhatian rakyat sedang menyaksikan
perbalahan antara beliau bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr
Mahathir Mohamad," ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata lagi, sejarah lalu membuktikan Pas merupakan parti
yang sanggup mengadakan tahaluf siyasi dengan semua pihak.
"Selagi mana ia tidak dikhianati, Pas akan menjaga kerjasama dan muafakat tersebut," jelasnya.
Tambah Tuan Ibrahim, jika Najib benar-benar ikhlas mahu melaksanakan
pemerintahan negara berlandaskan syarak, Ahli Parlimen Pekan itu perlu
membuktikan dahulu hasrat tersebut dalam ruang lingkup kuasanya.
"Di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama.
"Jangan kegagalan ini disalahkan Pas, hanya kerana Pas menolak pelawaan
itu, kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang Melayu
Islam untuk mentadbir negara," tegasnya.
Beliau turut berkata, Pas tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada
agama kerana hukum ALLAH tidak dilaksanakan sejak 50 tahun lalu.
"Pas juga tidak akan merelakan perpaduan bagi mendokong tindakan yang
bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan 'menghalalkan' pelbagai
penipuan, penyelewengan dan rasuah demi mempertahankan kuasa satu-satu
pemimpin.
"Cara menyelamatkannya bukan dengan memberikan talian hayat dan
sokongan kepada Umno tetapi mereka perlu disedarkan bahawa mereka akan
ditolak rakyat jika meneruskan cara pemerintahan yang sedia ada,"
katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment