Ahmad Maslan
 
Ahmad Maslan berkata BN masih dalam gear lima dan pusingan akhir menghadapi PRU13.
 
KUALA LUMPUR - Datuk Ahmad Maslan hari ini mendesak Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman agar menghentikan fitnah berkaitan isu Felda dan jika tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri menegaskan,  tindakan tidak bermoral Mazlan ini tidak harus dibiarkan kerana boleh menjejaskan kredibiliti Felda dan dikhuatiri fitnah ini dianggap benar oleh rakyat.

"Kalau selama ini kita diamkan saja perbuatan beliau, tapi lama-kelamaan apabila terlalu banyak fitnah yang didedahkan, kita sendiri tidak boleh mendiamkan diri lagi," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, banyak tohmahan  dinyatakan oleh Mazlan seperti dalam Harakah pada 10 September lalu, bertajuk "400 juta unit saham FGVH dimiliki Genting" dan akhbar "Suara Keadilan pada 25 September melalui artikel 'Dividen Interim Langgar Prosedur".

“Saya mahu dedahkan hari ini, semasa proses penyenaraian terbuka saham FGVH lalu, tidak ada satu peratus pun saham diberi kepada Genting," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, kenyataan-kenyataan Mazlan dalam media pembangkang jelas berniat jahat dan boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan peneroka Felda.

"Kalau selama ini mereka bebas buat kenyataan, kenapa perlu saya diam? Saya sendiri tidak menyangka pimpinan Pas ini ‘celupar mulut’ dengan beri kenyataan tanpa membuat sebarang penyelidikan terlebih dahulu," tegasnya.


Beliau turut menyindir pimpinan kanan Pas yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik di hadapan rakyat sebaliknya bebas menabur fitnah tidak berasas.


"Adakah ini lambang pemimpin Pas? Kata perjuangkan Islam tapi tabur fitnah sana-sini tanpa rujuk kepada kami terlebih dahulu," ujarnya.


Ahmad menambah, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan Felda sama ada mahu membawa perkara ini ke muka pengadilan atau tidak.


"Justeru itu, saya mendesak agar hentikan tohmahan tidak berasas ini, jangan terus memalukan diri sendiri di hadapan rakyat," tegasnya.