Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri
Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang sangat kuat
bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) akan datang.
Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara,
beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13
kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN.
Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini
berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)
82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan
PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan
kekal pada PRU akan datang.
20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi
Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada
jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang.
Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan
bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat
berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan
'swing' kepada Pakatan Rakyat.
Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah
bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.
Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti
pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari
kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.
Tiga kawasan campuran KDM-Cina dengan pengundi Islam adalah di Beaufort,
Papar dan Kota Belud.
Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-Cina
adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus
sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen
tersebut.
Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat
apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno
Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di
situ.
Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah
boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi
perlimen dari Sarawak.
"Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan
Persekutuan.
"Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan
sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak
adalah Bonus," katanya.
Harakah Daily
0 orang berkata:
Post a Comment