Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - PKR mendakwa tindakan Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan status hutan simpan kekal di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan, Johol, adalah tidak sah.

Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli berkata, tindakan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana melanggar Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.


Menurutnya, sehingga kini Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, masih belum memberikan sebarang jawapan berhubung pendedahan yang dibuat oleh PKR.


“Kami (PKR) akan membuat laporan polis di Seremban pada Khamis ini, agar satu siasatan dapat dijalankan.


“Tindakan yang dilakukan oleh Mohamad mengenai penggantian hutan simpan adalah untuk cuba menyembunyikan perkara sebenar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.


Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Mohamad yang menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Kerajaan Negeri memberi hak milik tanah hutan kepada orang lain adalah tidak berasas.


Beliau memberitahu sejak pentadbirannya, semua tanah hutan simpan yang dikeluarkan adalah di bawah seliaan Yayasan Negeri Sembilan dan tidak pernah diberikan kepada mana-mana pihak luar.


Mohd Rafizi berkata, hasil dari siasatan yang dijalankan mendapati Kerajaan Negeri mempunyai rekod terburuk dalam penggantian hutan.


Katanya, ini dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri menerima teguran dalam Laporan Audit 2010 berkaitan perkara tersebut.