Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM –  Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersedia untuk berwacana dengan Dewan Ulama Pas Pusat berhubung isu pimpinan Ayatollah sekiranya pertemuan itu membincangkan isu dibangkitkan secara “matang dan ilmiah.”

“Jika ada apa-apa wacana ilmiah yang berbincang secara matang, saya sudi untuk pergi. Tetapi, ia perlu dibuat secara perbincangan yang matang,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Majlis Hari Raya Aidiladha Karangkraf di sini, petang ini.


Mengulas lanjut kenyataan Setiausaha Dewan Ulama  Pas Pusat, Dr Mohd Khairuddin A. Razali awal hari ini, Asri berkata, “terima kasih pada jemputan dan akan memberi pandangan.”


Sehubungan itu, Asri menambah, beliau tiada masalah untuk menghadiri wacana yang dimaksudkan sekiranya tarikh penganjuran tidak bercanggah dengan urusan-urusan beliau selain jemputan disampaikan secara profesional.


Justeru, ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia ini berharap wacana yang dirancang oleh Dewan Ulama Pas itu tidak berakhir dengan ketegangan sebagaimana pernah dialami oleh bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr A Aziz Bari.


“Saya tidak kata Dewan Ulama itu tetapi beberapa orang yang pakai label ulama.


“Cuma (saya) harap tidak jadi seperti yang berlaku kepada Aziz Bari apabila pernah mengkritik dan dijemput tetapi dihentam secara keras dalam perbentangannya  sehingga menimbulkan ketegangan,” kata beliau lagi.