PKR umum calon PRU13 berperingkat
31 Oktober 2012
SHAH ALAM – PKR akan mengumumkan calon-calon yang bakal bertandingpada
PilihanRaya Umum ke-13 (PRU13) secara berperingkat-peringkat.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengumuman tersebut hanya
membabitkan calon-calon yang dilihat mampu memberi impak positif
terhadap kempen parti itu.
“Pengumuman itu akan dibuat bergantung kepada kesesuaian keadaan
ataupun waktu yang orang tidak akan sangka. Mungkin sewaktu siri Jelajah
Merdeka, mungkin selepas majlis mesyuarat tertinggi ataupun ketika
dalam siri ceramah parti.
“Senarai penuh pula akan diumumkan sebaik Parlimen dibubarkan dan
sehingga waktu itu, saya percaya PKR sudah mengumukan hampir semua calon
yang bakal bertanding,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Sebelum ini, Timbalan Presiden, Azmin Ali berkata, walaupun parti itu belum memutuskan masa yang sesuai untuk mengumumkan calon tetapi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada membuat beberapa pengumuman tentang beberapa calon parti itu.
Ahad lalu, kata Azmin, Anwar turut mencadangkan Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus mempertahankan kerusi Parlimen
Bandar Tun Razak.
Sebelum ini, Rafizi diumumkan sebagai bakal calon parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan untuk bertanding di Parlimen
Pandan, Rafizi mengakui sudah membuat persiapan sejak setahun lalu dan
beliau akan membawakan dua isu utama dalam kempen pilihan rayanya itu.
Jelas beliau, isu utama yang bakal digunakan untuk berkempen adalah
mengenai perubahan politik nasional yang perlu dilakukan pengundi iaitu
untuk mengubah kerajaan dan isu prestasi Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas) dalam membekalkan air berkualiti di negeri Selangor.
“Isu-isu perbandaran seperti kemiskinan bandar dan hal-hal lain sudah
dibawa oleh Kerajaan Negeri Selangor selama ini, cuma fokus saya adalah
dua perkara itu.
“Saya juga yakin dan bersedia terutamanya jentera, bahan kempen dan
gerak kerja parti telah bersiap sedia 80 peratus untuk menghadapi
pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Mengakui kekuatan lawannya iaitu, bekas Presiden MCA,
Datuk Seri Ong Tee Keat yang dilihat ‘kuat’ di kawasan parlimen itu,
Rafizi berkata, beliau berpandangan bahawa parti merasakan beliau
merupakan salah seorang calon Melayu yang dikenali pengundi Cina.
Katanya, sejak setahun lalu, beliau terus mendapat liputan meluas media
termasuk media berbahasa Cina dalam membongkar beberapa isu yang
menggemparkan negara.
“Mungkin sebab itu agaknya saya dipilih untuk bersaing dengan ‘otai’ Barisan Nasional (BN) itu,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment