KOTA BAHARU - Ahli perniagaan bergelar Datuk antara 15 orang yang ditangkap kerana mengingkari perintah mahkamah untuk menyelesaikan kes kebankrapan di Jabatan Insolvensi melibatkan hutang lebih RM7.6juta.

Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Kelantan, Rohaiza Abd Rahman, berkata ahli perniagaan berusia 69 tahun itu adalah antara 285 orang yang diisytiharkan bankrap di mahkamah sejak awal tahun ini, hingga September lepas.

Beliau berkata ini merupakan kes pertama dikategorikan sebagai kes bankrap berprofil tinggi di Kelantan, selepas dikesan dua tahun lalu.

"Ketika ini, kita sedang mengesan 270 lagi mereka yang diisytiharkan bankrap tetapi gagal hadir untuk ditadbir urus kesnya di jabatan ini dan kebanyakannya ahli perniagaan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang disytiharkan bankrap oleh mahkamah agar tampil untuk dibantu supaya dapat dikeluarkan daripada status tersebut.

"Kebanyakan mereka yang diambil tindakan mahkamah melibatkan kadar minimum hutang RM30,000," katanya sambil menegaskan pihaknya telah mewujudkan unit penguat kuasa untuk mengesan individu yang ingkar perintah mahkamah.

Katanya mereka yang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah tetapi tidak hadir di pejabatnya untuk berunding dengan pihaknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 91 (2) Akta Kebankrapan 1967 dan dikeluarkan waran tangkap mengikut Seksyen 28(1)(a) akta yang sama.

"Hampir setiap minggu kita membuat serbuan dan tangkapan terhadap mereka terlibat dalam kes tersebut," katanya sambil menambah jabatannya mendapat kerjasama erat pihak polis dalam usaha mengesan individu yang tidak mematuhi akta berkenaan.

Sementara itu, Rohaiza memaklumkan sejak 2010 hingga Jun lepas pihaknya merekodkan 930 kes kebankrapan dan kebanyakan yang terlibat berumur antara 25 dan 55 tahun ke atas.

Antara punca kebankrapan tersebut melibatkan urusan sewa beli, pinjaman perniagaan, pinjaman peribadi dan penjamin sosial.

"Dalam tempoh berkenaan juga kita berjaya menyelesaikan 1,308 kes kebankrapan di seluruh negeri ini," tambah beliau. - Bernama