Giant Killer sedia cabar Presiden Pas di Marang
Abdul Rahman ketika menyampaikan bantuan netbook kepada lebih 1,400 pelajar di kawasan Dun Rhu Rendang pada Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia di SMK Rhu Rendang.
MARANG – Bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar tidak menolak sekiranya namanya dicalonkan semula untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Abdul Rahman yang pernah menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1986 dan 2004 ketika dihubungi bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak meminta agar namanya dicalonkan sebaliknya ia terserah kepada pucuk pimpinan.

Difahamkan, Parlimen Marang merupakan salah satu kawasan paling panas dan menjadi sorotan setiap kali pilihan raya apabila seorang presiden parti bertanding di sini. Malah, mana-mana calon BN juga dikatakan tidak mampu menggugat Abdul Hadi.

Abdul Hadi mula bertanding pada pilihan raya umum 1978 di Dun Marang tetapi kalah dengan kekurangan 64 undi kepada calon BN Tengku Zahid Tengku Musa dan berjaya merebutnya semula pada 1982 dengan majoriti 320 undi.

Pada 1986, Abdul Hadi menang sekali lagi di Dun Rhu Rendang iaitu nama baru bagi Dun Marang selepas persempadanan semula dan beliau berjaya menewaskan Abdul Latif Muda dan mengekalkannya sehingga sekarang dan berkemungkinan pada PRU13 kelak.

Tetapi bagi kerusi Parlimen Marang pada tahun itu, beliau kalah kepada Abdul Rahman dan kembali merebutnya pada 1990, terus menang pada 1995 dan 1999 tetapi tewas sekali lagi kepada Abdul Rahman pada 2004 dan memenanginya semula pada 2008.

Pas boleh tewas jika BN letak calon betul

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun terdapat andaian mengatakan Parlimen Marang adalah kubu kuat Pas, namun Presiden Pas itu masih boleh ditumbangkan jika BN berupaya untuk meletakkan calon yang diterima oleh rakyat di Marang.

Malah, Abdul Rahman yang pernah digelar ‘Giant Killer’ berkata, Presiden Pas yang bertindak selaku ketua pembangkang di Parlimen perlu ditumbangkan terlebih dahulu sebelum `mencantas’ pengikut beliau agar ketua parti itu hilang suara di Parlimen.

“Ketua seperti Abdul Hadi perlu ditewaskan memandangkan dia Presiden Pas. Kalau Abdul Hadi kalah seperti kepala macam sudah hancur. Tiada kepala, tidak boleh berjalan . Kita bukan kerat ekor (dahulu), bukan kerat badan, cantas kepala terus.

“Di Marang terdapat satu tempat, iaitu satu Parlimen yang menjadi penghulu segala Parlimen di Malaysia kerana ketua Pas ada di sini (Marang),” katanya.

Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, calon BN perlu mengalahkan Abdul Hadi demi menyelamatkan bukan sahaja Parlimen dan negeri, bahkan negara daripada jatuh ke tangan pemimpin yang berpengaruh dalam Pakatan Rakyat (PR) itu.

“Apabila di peringkat negara tiada presiden (Pas), secara automatik dalam Dewan Rakyat juga tiada lagi suara pembangkang,” katanya

Calon berkredibiliti mampu lawan Abdul Hadi

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, hanya calon BN yang memiliki kredibiliti sahaja mampu menumbangkan Abdul Hadi dan pemilihan calon perlu dapat memberi impak positif kepada pengundi bagi berhadapan pemimpin pembangkang yang berpengaruh itu.

“Dengan tumbangnya Abdul Hadi, (ia) membolehkan tiga lokaliti utama, Marang, Terengganu dan Malaysia dapat diselamatkan. Jadi, kita harap pihak berkenaan betul-betul fokus di Marang.

“Saya kira kalau BN Marang boleh menang, boleh menaikkan lagi moral dan imej BN di Terengganum malah akan menghakiskan pengaruh Pas di negara ini,” katanya.

Beliau juga menganggap bahawa kemenangan calon BN menumbangkan Abdul Hadi tidak sama dengan kemenangan BN di 10 kerusi Parlimen lain kerana kemenangan BN di Parlimen Marang sesuatu yang sangat penting dan istimewa.

“Jadi, kena pilih calon yang betul-betul layak, yang betul-betul ada rekod, yang betul-betul rakyat terima, yang betul-betul boleh menang. Pilihan calon jangan ikut emosi, jangan ikut suka tidak suka, jangan ikut individu, tapi ikut suara rakyat.

“Kena pilih hati-hati. Perlu menanyakan semua orang Marang. Buat bancian perlu melibatkan ramai pengundi, mungkin 5,000-6,000 orang dan jangan hanya merujuk kepada sepuluh orang sahaja sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga berpendapat di Parlimen Marang perlu diberi peluang sekurang-kurangnya kepada dua muka baru manakala selebihnya mengekalkan pemimpin sedia ada.