Mangsa tembakan polis saman KPN, kerajaan Malaysia
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Mangsa tembakan
polis tiga tahun lalu, Norizan Salleh, 32, memfailkan saman terhadap
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi
yang lain hari ini.
Mangsa ditembak secara rambang oleh seorang pegawai polis peronda
sewaktu menaiki kereta bersama rakannya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2
Kuala Lumpur (MRR2), pada 30 Oktober 2009.
Polis menembak kereta tersebut bertalu-talu dan beberapa das tembakan
itu kena pada pergelangan tangan, bahu kanan serta tulang rusuk Norizan.
Sewaktu Norizan cuba keluar dari kereta dan meminta pertolongan polis,
dia telah ditendang di bahagian dada menyebabkan beliau rebah semula ke
dalam kereta.
Polis tersebut sekali lagi memijak pula belakang Norizan sebaik beliau
keluar semula dari kereta dalam keadaan merangkak dan kesakitan.
“Sehingga kini, kesan tembakan dan serangan itu masih terasa, saya
sering menghadapi kesukaran bernafas, tidak boleh terlalu aktif dan
tidak boleh angkat barang berat,” jelas Norizan kepada pemberita di
perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini.
Norizan yang diwakili peguam, N Surendran, Latheefa Koya dan Afiq Mohd
Noor menuntut gantirugi am, ganti rugi khas sebanyak RM18,326, ganti
rugi teladan serta faedah atas jumlah penghakiman keseluruhan pada kadar
lapan peratus setahun.
Polis yang menyerang beliau, Mohd Firdaus dinamakan sebagai defendan
pertama, diikuti Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria
Pagan; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Sebelum ini Norizan yang mendapat pembelaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat
menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Musa
Hassan.
Difahamkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagaimanapun telah
memanjangkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,
tetapi masih tiada sebarang tindakan, malah tiada respon balas daripada
kerajaan setelah beberapa memorandum sama diserahkan.
Keadilan Daily