SHAH ALAM – Sementara kes saman terhadap Petronas berkenaan isu royalti dijadual di Mahkamah Persekutuan, Konvoi Tuntut Royalti Kelantan mahu Bajet 2013 menyatakan dengan tegas soal membayar tuntutan royalti minyak dan gas kepada Kelantan, yang tertunggak sejak 2004.

Pagi ini, badan itu akan menyerahkan 150,000 tandatanga kepada Perdana Menteri mahukan royalti dibayar kepada kerajaan negeri dengan segera.


Selain itu, konvoi royalti dijangka ke Menara Berkembar Petronas dan mengadakan perhimpunan secara aman di KLCC bagi menunjukkan kepada seluruh rakyat Kelantan bahawa kekayaan hasil bumi mereka dirompak untuk memajukan negeri lain dengan mengabaikan kemajuan dan kemakmuran negeri di mana minyak dan gas dikeluarkan.


Dalam pada itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak melanggari perjanjian bayaran royalti minyak Kelantan menerusi Akta Petroleum 1974.


Perjanjian hasil cari gali yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Petronas pada 1975, Petronas wajib membayar lima peratus dari keuntungan minyak kepada Kerajaan Negeri, katanya.


Beliau berucap pada perhimpunan yang diadakan Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi.