Thursday, October 11, 2012
Imam Hoslan Husin: Dengan kehendak Allah Taala saya dipenjara. Dengan kehendak Allah Taala dibebas.
KUALA LUMPUR 11 Oktober: Imam Hoslan Husin yang dijatuhi hukuman penjara
setahun atas kesalahan menghina mahkamah kerana melempar selipar ke
arah panel hakim dibebaskan dari penjara Kajang hari ini selepas
didapati berkelakuan baik.
Beliau dilepaskan bersyarat di bawah perintah Parol dari Pejabat Parol
Daerah Cheras di bawah Jabatan Penjara Malaysia kira-kira jam 12.30
tengah hari tadi selepas menjalani hukuman penjara tujuh bulan tiga hari
mulai 8 Mac lalu.
Hoslan dikehendaki melapor diri setiap minggu ke pejabat parol, atau
pada bila-bila masa dikehendaki pegawai parol sehingga dibebaskan
sepenuhnya pada 8 November 2012.
Hoslan turut perlu melapor diri jika ingin keluar dari daerah Cheras.
Isterinya, Noorliza Mat Isa, 43, bergegas hadir dari Hospital Kuala Lumpur dari menjaga anaknya akibat demam denggi.
“Syukur. Dengan kehendak Allah Taala saya dipenjara. Dengan kehendak
Allah Taala dibebas. Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat
Malaysia yang memberi sokongan kepada saya dan keluarga,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peguam Karpal Singh; Ketua
Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik
Abdul Nik Mat kerana membelanya secara terbuka.
Hoslan menambah, beliau memaafkan pihak yang menganiainya, namun akan
terus memperjuangkan keadilan kerana ia adalah ijtihad dalam hidupnya.
“Tidak
ada yang lebih baik dari memaafkan. Kerana Rasulullah sendiri pun
sentiasa memaafkan,” kata Hoslan memaklumkan, diberi kebenaran
menyampaikan tazkirah kepada banduan dalam himpunan harian pagi ini.
Hoslan berkata, beliau akan meneruskan kehidupan dengan berniaga kitab-kitab agama.
“Kita jalankan kehidupan. Tidak ada masalah. Tidak baik sekiranya ada
penyakit hasad dengki,” kata bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung
Pandan ini.
Parol bermaksud pelepasan seseorang penghuni penjara yang mempunyai
tarikh bebas dan layak, untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman
pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol.
Penghuni dikehendaki menjalani baki hukumannya di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol.
0 orang berkata:
Post a Comment