Op Daulat: Tiada tanda penceroboh mahu serah diri
10 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Op Daulat yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan
kumpulan pengganas dari selatan Filipina terus digempur kerana tiada
tanda mereka mahu menyerah diri sejak menceroboh Sabah 26 hari lepas.
Kumpulan penceroboh sebaliknya bertindak agresif sehingga menyebabkan
dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam insiden berbalas
tembakan yang berlarutan selama lapan jam di Kampung Tanjung Batu, Lahad
Datu malam semalam.
Tindakan itu mendapat reaksi segera Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza
Taib yang menyifatkan kumpulan pengganas itu tidak berhasrat menyerah
diri atau melakukan gencatan senjata seperti yang dilaporkan media
Filipina.
Susulan itu, pasukan keselamatan membabitkan polis dan angkatan tentera
yang membentuk Op Daulat meneruskan operasi menjejak pengganas, dengan
orang ramai sekali lagi diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan Zon
Merah yang ditetapkan sejak gerakan ofensif dimulakan Selasa lepas.
Ketika pasukan keselamatan agresif menjejaki musuh, seorang remaja
lelaki berusia antara 12 dan 15 tahun maut terkena tembakan pasukan
keselamatan pagi ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian secara
tiba-tiba itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa dua
lelaki dan tiga wanita di Kampung Sungai Bilis sebelum terdengar bunyi
pergerakan dari belukar berhampiran.
"Berikutan itu, pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan
tembakan ke arah belukar tersebut," katanya pada sidang media pada 4.40
petang.
Ismail berkata operasi agresif pasukan keselamatan juga membawa kepada penahanan 96 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sulu yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Februarilepas.
Turut ditahan adalah 66 yang lain kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat yang dilancarkan pada Selasa.
Gerakan ofensif juga kini dilebarkan ke kawasan baharu di Kampung
Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan menumpukan kepada operasi
membersih danmenggeledah di Kampung Tanduo, kira-kira lima kilometer dari kampung itu.
Sementara itu di Semporna, polis daerah itu menahan empat individu yang merupakan suspek penceroboh.
Mereka merupakan sebahagian daripada 33 orang yang ditahan dalam
operasi selama dua jam di Kampung Pinggir Bakau kerana dipercayai
melindungi dan
terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu selain disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada musuh.
Hari keenam Op Daulat juga menyaksikan sekumpulan wartawan dan
jurugambar terserempak dengan anggota militan bersenjata ketika membuat
tinjauan di Kampung Tanjung Labian, kira-kira 20 kilometer dari pusat
media di Residental Felda Sahabat.
Sosok lelaki berpakaian serba hitam sambil memegang senjata itu dilihat
berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter
dari
kedudukan mereka. Bagaimanapun kesemua mereka tidak diapa-apakan.
Penduduk kampung itu juga dilihat tergesa-gesa meninggalkan kediaman
masing-masing kerana bimbangkan keselamatan selepas mereka terdengar
bunyi
tembakan dilepaskan dalam kawasan kampung berkenaan.
tembakan dilepaskan dalam kawasan kampung berkenaan.
Pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan
penceroboh militan dari Sulu pada 5 Mac. Sepanjang konflik yang bermula
12 Februari itu seramai lapan anggota polis terkorban dan 53 musuh
ditembak mati. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment