Bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang sertai PAS
17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
GUA MUSANG: Ketika
Datuk Seri Najib Razak masih lagi terkial-kial mengumumkan pembubaran
parlimen, seorang lagi bekas ketua pemuda Umno bahagian meninggalkan
parti itu.
Abd Aziz Awang, 55 melengkapkan senarai tiga bekas ketua pemuda Umno bahagian di Kelantan berhijrah daripada Umno.
Sebelum ini bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh dan
bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zulkifli Zakaria memulakan penghijrahan
selepas lama berada Umno.
Abd Aziz mengetuai Pergerakan Pemuda Umno Gua Musang selama dua penggal,
pernah juga dilantik Ketua Penerangan Pemuda Umno Kelantan.
Beliau mengambil langkah meninggalkan Umno selepas melihat parti Melayu
itu tidak mampu lagi memakmurkan rakyat, di samping kepemimpinannya
semakin lemah.
“Saya menerajui Pemuda Umno Gua Musang ketika era Saufi Deraman dan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi ketua bahagian.
“Ketika penggal pertama saya menewaskan Adun Galas sekarang, Abdul Aziz
Yusof dalam pertandingan tiga penjuru. Ketika itu saya masih ingat Aziz
hanya dapat 11 undi.
“Kemudian selepas Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai
Umno secara beramai-ramai menyebabkan Umno Gua Musang semakin kuat,”
katanya di sini.
Ketika itu beliau juga bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kesedar
dan pernah berkhidmat sebagai Pengurus Rancangan Pembangunan Kampung
Baru di Manek Urai.
Bagaimanapun pada 1997 berhenti dengan Kesedar bagi memberi tumpuan kepada perniagaan.
Abd Aziz juga berkata, beliau mengambil langkah meninggalkan Umno
selepas melihat pemimpin parti itu sekarang tidak mampu lagi membela
agama Islam.
“Biar pun mereka bercakap mahu mendaulatkan Islam, namun dari segi tindak tanduk tidak mencerminkan ke arah itu.
“Banyak perkara mungkar dibiarkan begitu sahaja. Malah pengurusan
ekonomi negara semakin lemah. Hari ini amat malang sekali rakyat
Malaysia diketuai seorang perdana menteri yang tiada karisma.
“Banyak isu yang berlaku sekarang tidak mampu ditangani Presiden Umno.
Sebab itulah beliau teragak-agak membubarkan parlimen biar pun sudah
melebihi lima tahun mandat diberi rakyat,” katanya yang menyertai PAS
baru-baru ini.
Menurutnya juga lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno di Gua Musang
dijangka mengambil langkah serupa meninggalkan parti itu dalam masa
terdekat ini.
Harakahdaily/-
0 orang berkata:
Post a Comment