17 Januari, 2014
Panas!! Khairy Jamaluddin Buat U-Turn
Kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) semalam yang
menyebut kenaikan harga sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan disebabkan
cuaca buruk adalah satu kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan
sebelumnya, kata PAS.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata Khairy sebelum
ini melahirkan rasa kebimbangan terhadap kenaikan harga barang tetapi
semalam membuat pusingan U menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga
barang.
“Kenyataan Khairy semalam tentang kenaikan kos barang seperti sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan kerana cuaca buruk adalah sangat mengecewakan. Sekali lagi Khairy yang pada awalnya menunjukkan kerunsingan tentang kenaikan harga barang, berpatah balik menyokong tindakan orang atasannya.
“Khairy menjadi ingatan umum sememangnya pantas dan licik membodek majikan mengikut rekodnya.
Beliau wajar diingatkan Ekonomi 101 bahawa inflasi disebabkan cuaca
ialah sementara dan akan berkekalan selagi punca pencetusnya tidak
ditangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bernama semalam melaporkan Khairy berkata faktor permintaan, bekalan,
cuaca dan musim perayaan menjadi antara punca utama mempengaruhi
kenaikan atau penurunan sesuatu barangan di pasar.
Katanya, kenaikan harga petrol hanya memberi kesan kecil kepada barangan
di pasar borong serta menolak tanggapan bahawa penurunan subsidi harga
petrol menjadi faktor utama kenaikan harga barang.
Dzulkefly berkata beberapa pakar ekonomi telah mengingatkan Putrajaya
supaya tidak melakukan tarikan subsidi serentak ditambah dengan
pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun hadapan yang
akan menyaksikan peningkatan inflasi.
Katanya, beberapa bank saudagar meramalkan inflasi paling buruk setinggi
3-3.5% setahun pada 2014 dan 4% pada 2015 bahkan lebih tinggi selepas
pelaksanaan GST.
“Inflasi iaitu kenaikan kerana kos berbeza dengan kenaikan kerana
permintaan disebabkan cuaca buruk. Inflasi disebabkan cuaca ialah
sementara. Khairy perlu tahu.
“Maka inflasi ialah hasil cetusan Putrajaya dan kalau akhirnya memuncak
sebagai kemelut maka ia adalah krisis ciptaan Putrajaya,” katanya.
Khairy pada minggu lalu menyokong kenyataan mantan perdana menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya terlebih dahulu perlu berjimat
selepas memotong subsidi, susulan kenaikan harga barang dan tarif
elekrik.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, teguran yang dilontarkan Dr
Mahathir perlu diambil kira memandangkan beliau mempunyai pengalaman
luas sebagai bekas perdana menteri.
"Isu dia tegur kenaikan harga, desak kerajaan kena berjimat. Saya faham
hinggakan kerajaan terpaksa naikkan tarif (elektrik). Kita kena
tunjukkan terlebih dahulu penjimatan dalam kerajaan," katanya.
Dr Mahathir dalam satu artikel di blognya meluahkan rasa tidak bersetuju
dengan keputusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
menaikkan harga barang keperluan dalam meningkatkan pendapatan negara.
Beliau berkata kerajaan sewajarnya mengurangkan kos dan menggunakan
konsep “cost down” bagi mengurangkan pembaziran."Kita faham kerajaan
memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang
diumumkan.
Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekal atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan," katanya. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment