•  Noh Omar Noh Omar
1 / 1
KUALA SELANGOR -  Tindakan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar Selangor merupakan penyalahgunaan dan penghinaan ke atas sistem demokrasi.
  
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakannya itu mempermainkan dan memperbodohkan pengundi di kawasannya serta tidak mengiktiraf kepercayaan yang telah diberikan rakyat.

"Mereka (pembangkang) bercakap soal penjimatan duit kerajaan...duit rakyat...mereka tidak ambil kira itu semua. Apabila ada pilihan raya kecil pasti kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat untuk menguruskan pilihan raya dan akan melibatkan kos yang belum dapat dipastikan lagi.
  
"Jadi apa maknanya kalau nak bertanding secara suka-suka, tidak serius dan apabila sampai masa tanpa sebab letak jawatan, mungkin nak beri  peluang kepada orang lain untuk mengambil tempatnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan RM100 seorang kepada 115 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yit Khwan dan 62 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bagan Pasir hari ini.

Oleh itu, beliau berkata, pengundi di Kajang perlu sedar dan membuka mata mereka supaya jangan lagi diperkudakan dan diperkotak-katikkan oleh wakil rakyat yang mereka berikan mandat dan parti yang diwakilinya.
  
"Mereka menjadikan rakyat sebagai kuda tunggangan untuk mencapai kepentingan itu. Anwar berkemungkinan mahukan jawatan Menteri Besar Selangor kerana jawatan
itu menawarkan gaji yang lebih dari seorang Perdana Menteri iaitu jawatan yang dihasratkan beliau sebelum ini," katanya. - Bernama