•  R Ramanan R Ramanan
1 / 1
KUALA LUMPUR - Datuk R Ramanan, yang diperintah mahkamah untuk mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M Mahadevan Khamis lepas, hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung MIC.
  
Ramanan yang akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel hari ini, berkata keputusan itu dibuat demi kebaikan parti.
  
"Saya harap presiden terima peletakan jawatan ini kerana beliau dihentam oleh media kerana masalah ini, walaupun ini kes sivil dan hal peribadi serta tidak berkaitan langsung dengan MIC atau Barisan Nasional, presiden pula menjadi mangsa, jadi ini tak adil.
  
"Ini keputusan saya sendiri dan saya tak dipaksa atau diminta untuk meletak jawatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MIC di sini.
  
Mahkamah Tinggi memerintahkan Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada Dr Mahadevan, yang beliau didakwa terima secara palsu ketika "membantu" pakar itu mendapatkan bayaran berkenaan empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong, dalam penghakimannya, berkata beliau setuju dengan peguam Lavinia Kumaraendran dan Cassandra Lee yang mewakili Dr Mahadevan, bahawa Ramanan menipu plaintif sehingga mendorong beliau memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi defendan pada 19 Mei 2010.
  
Ramanan berkata, beliau telah memfailkan rayuan ke atas keputusan mahkamah itu pagi ini.
  
Ditanya adakah beliau akan menarik balik keputusan untuk meletak jawatan sekiranya keputusan rayuan memihak kepadanya, Ramanan berkata: "Saya serahkan perkara itu kepada presiden dan anggota MIC untuk putuskan". - Bernama