1 / 2
BALIK PULAU - Sebuah gereja di Lebuh Farguhar dibaling dengan dua butir bom buatan sendiri kira-kira jam 1.30 awal pagi tadi.Bagaimanapun, bom petrol dalam botol yang dipercayai dibaling oleh dua lelaki bermotosikal ke dalam gereja itu tidak meletup dan hanya mengakibatkan kebakaran kecil.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu disedari pengawal keselamatan gereja yang ketika itu sedang meronda.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota forensik dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

"Siasatan mendapati dua bom buatan sendiri itu adalah jenis molotov coktail.

"Hanya satu biji yang pecah dan mengakibatkan kebakaran kecil dan sebiji lagi terjatuh di kawasan halaman gereja," katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis serahterima tugas jawatan ketua dan timbalan ketua polis daerah barat daya di sini, hari ini.

Abdul Rahim percaya insiden itu ada kaitan dengan kejadian menggantung kain rentang yang menyalahgunakan kalimah ALLAH seperti yang dilaporkan semalam.

Menurutnya, setakat ini polis menerima 10 laporan mengenai kejadian itu.

"Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada disekitar kawasan gereja berkenaan bagi mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.