• MOHD SANY HAMZAN
1 / 1
PETALING JAYA - Jabatan Pilihan Raya Pemuda Pas melahirkan rasa terkejut dan terkilan berhubung peletakan jawatan tanpa alasan yang munasabah oleh bekas Adun Kajang Selangor, Lee Chin Cheh semalam.

Menurut Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan, tanpa ada berlakunya tsunami politik yang menggila, peletakan jawatan itu telah mewujudkan satu persepsi yang tidak baik kepada rakyat Selangor seterusnya kepada kesepaduan PR Selangor.

"Rakyat akan meluat dan bosan dengan telatah politik rakus kuasa dalam kalangan pemimpin PKR Selangor dan merosakkan imej baik kerajaan PR  Selangor itu sendiri.

"Kami menganggap peletakan jawatan ini sebagai satu pengkhianatan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Selangor kepada PR dan  membelakangkan semangat ‘syura’ dalam kalangan rakan komponen PR  Selangor.

"Peletakan jawatan ini juga akan menyebabkan pembaziran wang rakyat dan tenaga-tenaga petugas parti apabila pilihan raya kecil terpaksa diadakan dan sepatutnya untuk penggal kedua pemerintahan, Selangor telah semakin mantap dalam meneruskan agenda membantu rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Chin Cheh.

Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu.

Menurut Mohd Sany lagi,  tindakan  Chin Cheh telah memberi peluang kepada musuh politik PR Selangor untuk menaburkan khabar angin dan fitnah berlakunya masalah politik dalaman PKR sebagai usaha untuk memberikan tekanan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim supaya melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.

Tambahnya lagi, pihaknya melahirkan rasa kecewa terhadap pimpinan PKR Selangor yang mengamalkan agenda ‘politik egois’ dan ‘besar kepala’ dengan membelakangkan Pas dan DAP Selangor di dalam kerja buat mereka di Selangor.

"PKR Selangor berlagak seperti ‘bos besar’ yang boleh mengambil apa saja tindakan politik yang menguntungkan mereka tanpa persetujuan dan pandangan rakan-rakan parti Pas dan DAP sedangkan PKR Selangor hanyalah ‘pemegang saham minoriti’ di dalam Kerajaan PR Selangor," katanya lagi.

Sehubungan itu, jelas Mohd Sany pihaknya  menuntut penjelasan yang munasabah daripada  Chin Cheh terhadap peletakan jawatan beliau secara bertulis kepada Ketua Dewan Pemuda Pas dengan kadar segera.

"...sekiranya penjelasan yang diberikan tidak munasabah maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda Pas memberi amaran akan mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera pilihan raya pemuda Pas di semua peringkat untuk tidak memberikan kerjasama di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang  nanti sekiranya calon yang ditentukan masih lagi dari kalangan calon PKR," tegasnya.