• Abdul Rahman Mat Dali Abdul Rahman Mat Dali - Foto Ihsan Ismaweb.net
1 / 1
SHAH ALAM – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kecewa dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendiamkan diri berhubung isu kalimah ALLAH.

Naib Presiden II (Isma), Abdul Rahman Mat Dali berkata, sebagai Perdana Menteri beliau perlu tegas dalam menangani isu ini.


“Pendirian beliau berhubung isu kalimah Allah ini, membuktikan bahawa beliau lebih menjaga kaum minoriti yang  melampau," katanya yang dipetik dari Ismaweb.


Semalam, Najib dalam satu pertemuannya bersama pimpinan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Melayu dan Islam telah menyatakan bahawa beliau perlu berdiam diri dalam isu kalimah ALLAH kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan menambah bahang kemarahan.


Kata Najib, beliau merupakan seorang pemimpin semua rakyat Malaysia dan bukan semata-mata pemimpin satu kaum.


Tambah Abdul Rahman, jawapan Najib sangat mengecewakan kerana gagal memberi perhatian kepada rakyat beragama Islam.


"Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang lemah dan dilihat tidak mampu menguasai keadaan yang celaru ketika ini.


"Beliau juga dilihat tidak mampu menangani ancaman terhadap agama Islam demi kepentingan bangsa Melayu pada masa akan datang," katanya.


Sebelum ini, isu penggunaan nama ALLAH telah menimbulkan pelbagai provokasi.


Bermula dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah Katolik The Herald menggunakan nama ALLAH dalam penerbitan mereka.

Namun, selepas mendapat bantahan dari pelbagai pihak Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan itu.