18/01/14
Puluhan tahun berpuasa akhirnya Terry peluk Islam
Oleh Hafizan Taib
ISLAM bukan asing buat pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dari United Kingdom, Terry Fa’iz Kenneth Brougham.
Sudah puluhan tahun beliau mempraktik
sebahagian ibadat Islam termasuk berpuasa pada Ramadan dan hanya makan
juadah halal kerana disifatkannya amalan baik.
Beliau mempelajari Islam melalui sama ada hasil pembacaan buku dan internet serta bertukar pandangan dengan beberapa rakannya.
“Dari buku dan internet, saya juga mengkaji al-Quran terjemahan bahasa Inggeris,” kata kepada Selangor Kini.
Terry Fa’iz yang mendiami negara ini
sejak 16 tahun lalu juga tertarik dengan corak kehidupan di Malaysia dan
menanam impian untuk menjadi seorang Islam.
“Sebelum ini, saya seorang Kristian
tetapi pegangan tidak kuat. Saya tinggal lama di Malaysia dan mendapati
gaya kehidupan umat Islam sangat bagus dan sempurna.
“Sejak dulu, saya dapat merasakan satu
hari nanti saya menjadi orang Islam,” katanya yang akhirnya menjadi
kenyataan pada hujung Disember lalu.
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak
itu juga mengakui kemasukannya sebagai seorang Islam banyak didorong
keluarga angkatnya yang membantu memahami Islam secara lebih mudah dan
berkesan.
“Saya ada keluarga angkat Melayu, mereka
banyak membantu. Saya kini boleh fokus mempelajari Islam dan beramal
ibadah dengan lebih tekun,” katanya yang belum berkahwin walaupun
berusia 67 tahun.
Beliau yang melafaz kalimah dua syahadah
pada Majlis Syahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam
bersama dua lagi mualaf, juga bercadang memperoleh taraf penduduk tetap
di Malaysia.
Majlis itu turut disertai dua saudara
baru, wanita Filipina, Fatimah Abdullah, 25, dan pemuda Dusun Sabah,
Muhammad Nor Faizal Abdullah, 30.
Ia dipimpin Khalid Abdul Samad, pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dariIslamic Outreach ABIM (IOA).
IOA menjalankan dakwah berterusan
menerusi pelbagai program ilmu kepada masyarakat bukan Islam bagi
meningkatkan kesedaran dan menimbulkan minat terhadap Islam.
Aktiviti dakwah itu dikendali tenaga
pengajar sukarela terdiri dari pensyarah tempatan dan luar negara
termasuk bahasa Hindi, Kembodia, China dan Jepun secara sukarela.
Ini mendorong ramai warganegara lain
seperti Inggeris, Korea, China, India, Bangladesh selain sebahagian
rakyat tempatan, menganut Islam menerusi IOA.
“Alhamdulillah, kita sudah mengIslamkan
kira-kira 30 saudara baru sepanjang 2013. Angka itu ialah mereka yang
diIslamkan melalui IOA dan pengurusan masjid ini secara rasmi.
“Selebihnya pula memilih memeluk Islam melalui bantuan pihak lain atau di negara masing-masing,” katanya.
IOA juga menjalankan aktiviti dakwah di satu ruang masjid dan merancang mengadakan kursus secara rasmi mulai tahun ini.
“Kursus bimbingan seperti Murabbiah yang mempraktik sistem mentor mentee juga ada. Mualaf digandingkan dengan pasangannya, seorang pendakwah Islam.
“Kita melatih 43 orang untuk tugas ini
termasuk mengajar pembangunan ilmu agama. Kita juga ada kursus bimbingan
saudara baru dalam bahasa Inggeris di pejabat IOA di Masjid Negara,”
katanya.
- FZL






0 orang berkata:
Post a Comment