• Datuk Saifuddin Abdullah Datuk Saifuddin Abdullah
1 / 1
SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengembalikan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan sejak 2011.
Malah menurut bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu, mengembalikan ISA sama maknanya dengan bersikap memungkiri janji.

“Saya tidak setuju ada semula ISA, kerana tidak setuju penahanan tanpa bicara.


"(ISA) diguna terhadap lawan politik, mungkir janji kerana ia telah dimansuh,” tulis Saifuddin menerusi laman mikro Twitter miliknya.


Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan ISA sebagai undang-undang paling relevan bagi menangani dan mencegah jenayah berat di negara ini.


Menurut bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, ISA harus dikembalikan semula dalam usaha mencegah kegiatan jenayah berat di negara ini.


"Kita buang ISA, mereka menggunakan itu untuk melakukan jenayah yang dahsyat.
"Kerana itu, mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada cara yang lama," beliau dipetik sebagai berkata.

ISA dimansuhkan pada malam 15 September 2011, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai maklum balas kepada isu itu berkata, kerajaan tidak mungkin mewujudkan semula ISA.
Sebaliknya ujar beliau, kerajaan mungkin meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu yang bersesuaian jika perkara itu dirasakan perlu.

"Apa yang dinyatakan oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) mempunyai elemen-elemen yang boleh diperkirakan tetapi bukan mudah untuk menghidupkan semula ISA," katanya.