• Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
1 / 1
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai mendalami ilmu agama bagi mengelak diputar belit dan menerima bulat-bulat setiap pandangan dilontarkan.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengaitkan isu bughah yang mencetuskan kontroversi baru- baru ini selepas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan darah peserta perhimpunan Turun 31 Disember lalu sebagai halal (bughah).


“Kita perlu belajar al-Quran, jangan harapkan orang lain, sebanyak mana ilmu yang ada pada Datuk Mufti itu, biar ada juga pada kita, sebab itu apabila Datuk Mufti buat salah, kita boleh tegur.


“Dunia sekarang dunia belajar, orang yang berilmu sukar diputar belit dan disesatkan,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.


Menurutnya, demonstrasi menuntut penurunan harga tidak menyalahi agama dan perlembagaan negeri ini, tambahan pula ia bukan bertujuan mencetuskan ketegangan kerana tidak melibatkan sebarang senjata.


“Orang demonstrasi, tak ada senjata apa, halal darah, riuh mengatakan halal darah, pertama sekali demonstrasi ini boleh atau tidak?


"Perarakan ramai-ramai buat tuntutan, jawabnya boleh, dalam Islam boleh, dalam negeri kita pun boleh, dalam perlembagaan negeri kita pun boleh,” katanya.


Mengulas lanjut, Nik Aziz turut menggesa orang ramai memahami isu tersebut, selain turut mempersoalkan kenyataan Harussani.


“Kalau tak bawa parang dikatakan halal darah, bagaimana pula jika membawa senjata, adakah sama?,” soalnya sambil sekali lagi mengingatkan agar masyarakat memahami isu yang ditimbulkan.