Persatuan pengilang sokong harga siling padi naik
ALOR SETAR - Persatuan Pengilang Beras Cina-Melayu Kedah menyokong
keputusan kerajaan menyeragamkan harga belian padi kepada RM1,200 satu
tan metrik namun berharap mekanisme diguna pakai bagi menyeimbangkan
harga beras dengan kenaikan itu dijelaskan.
Pengerusinya Datuk Chew Giok Kun turut menyarankan supaya subsidi beras
import dihapuskan agar industri tanaman padi tempatan lebih berjaya dan
operasi pengilang tidak terjejas.
Beliau berkata harga beras import yang sudah rendah tidak wajar
diberikan subsidi dan sewajarnya subsidi tersebut disalurkan kepada
industri beras tempatan.
"Kami ahli persatuan tiada masalah membeli pada harga yang ditetapkan
tetapi logiknya apabila harga padi dinaikkan, harga beras juga turut
naik. Kita tidak boleh jual beras pada harga sebelum kenaikan harga
padi.
"Sekiranya harga beras kekal pada harga lama, kami mahu kerajaan
menampung perbezaan kenaikan tersebut," katanya kepada Bernama apabila
diminta mengulas kenaikan harga padi berkuat kuasa pada musim menuai
akan datang.
Keputusan penyeragaman harga itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Baharu,
Kelantan semalam yang antaranya bertujuan menghapuskan peranan orang
tengah kerana merugikan petani.
Chew berkata sebahagian subsidi beras import yang ditarik balik boleh
digunakan bagi menambah pengeluaran beras ST15 untuk memenuhi permintan
golongan sasar memandangkan pengeluarannya tidak mencukupi sejak
diperkenalkan pada 2009.
Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang turut menyokong keputusan itu mahu
kerajaan memastikan pengilang tidak membuat potongan tidak munasabah.
Pengerusinya Datuk Yusoff Ismail berkata Cake menerima banyak aduan
daripada petani yang tidak berpuas hati dengan pengilang swasta dan juga
Bernas (Syarikat Beras Nasional) yang membuat potongan agak tinggi atas
alasan padi tidak ada isi, tidak cukup masak dan basah sejak beberapa
musim lepas.
"Cake memperjuangkan harga siling ini dinaikkan sejak empat tahun lepas.
Kita harap kenaikan ini mendorong petani bekerja lebih kuat
meningkatkan produktiviti dan menghentikan tabiat mengambil pendahuluan
daripada tauke-tauke kilang.
"Amalan mengambil wang pendahuluan ini ini bukannya rahsia...amalan ini
menyebabkan petani tidak dapat menjual hasil kepada pihak lain yang
menawarkan harga lebih baik," katanya. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment