• Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM – Pas berpandangan sudah tiba masanya kerajaan menyediakan platform untuk membincangkan isu sensitif di negara ini dengan lebih harmoni.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara sensitif yang dimaksudkan meliputi isu agama, bangsa dan hak orang Melayu dalam Perlembagaan, termasuklah penggunaan kalimah ALLAH yang kembali hangat diperkatakan.

“Saya setuju bahawa isu melibatkan kepentingan agama dan boleh menimbulkan polemik perkauman perlu diperhalusi supaya tidak dibincangkan secara terbuka. Saya cadangkan satu platform untuk kita bincang.

“Saranan ini untuk semua pihak termasuk ahli politik. Malah dalam Islam, ada isu yang hanya layak dibincangkan oleh orang yang pakar atau ahlinya saja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan supaya pemimpin dari mana-mana parti agar tidak menjadikan isu kalimah ALLAH sebagai modal politik.

Ini berikutan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan isu kalimah Allah tidak mampu memberi kelebihan kepada mana-mana parti jika dieksploitasi untuk tujuan politik.

Menurut beliau lagi, terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan sekiranya isu sensitif ini terus dipolemikkan dan tidak ditangani dengan cermat.

“Kita bimbang ada pihak yang ambil kesempatan dengan mengapi-apikan isu ini di Facebook dan media baru.

“Ada pula pihak yang ‘menyambut’ dan menjadikan isu itu lebih panas dan berpanjangan,” katanya.