• 73 kes samun kereta Geng Kutty selesai Arjunaidi menunjukkan gambar dua rakan geng itu yang diburu dikenali Sam Chia Ming (kiri) dan Ratchagapalan.
1 / 1
PETALING JAYA - Polis berjaya menyelesaikan 73 kes samun kereta mewah melibatkan Geng Kutty susulan tertangkapnya lima suspek, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah hotel kira-kira jam 6.30 petang di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Menurutnya, manakala dua lagi suspek terdiri seorang lelaki serta wanita ditahan di tepi jalan di Kelana Jaya, pada keesokan paginya.

“Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, sebanyak tujuh kereta mewah hasil samun di sekitar Petaling Jaya dirampas seperti dua buah Honda Accord, Toyota Camry, Toyota Estima, Mercedez, Nissan Sentra dan Proton Exora serta beberapa kunci kereta, telefon bimbit dan komputer riba.

“Modus operandi mereka licik. Suspek akan menunggu mangsa yang hendak masuk atau keluar dari rumah sebelum melakukan samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, semalam.

Menurutnya, polis percaya geng berkenaan hanya melakukan samun sahaja dan kemudian akan memberikan kenderaan yang disamun kepada geng lain untuk dijual.

Arjunaidi berkata, dalam pada itu, pihaknya kini memburu dua lagi rakan mereka dikenali sebagai Sam Chia Ming, 21, dan Ratchagapalan, 24, yang masing-masing alamat terakhir di Lembah Subang dan Taman Sri Manja.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.