• Syed Ali Alhabshee Syed Ali Alhabshee
1 / 1
SHAH ALAM – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa akan ‘keseorangan’ dalam meneruskan agenda perjuangan politiknya walaupun beliau dijangka memberi laluan kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bertanding jawatan Presiden PKR.

Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, walaupun Anwar mengumumkan bertanding jawatan tersebut tetapi beliau dijangka menarik diri pada saat akhir.

“Keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bersabit kes liwat menjadi penghalang untuk beliau aktif berpolitik,” ujarnya yang dipetik dari blognya umnobahagiancheras.blogspot, hari ini.

Tindakan Anwar itu kata Syed Ali, bagi memberi laluan kepada Wan Azizah mempertahankan jawatan dan meneruskan penguasaan keluarga beliau dalam PKR.

Bagaimanapun katanya, percaturan Anwar untuk memberi kemenangan percuma kepada Wan Azizah akan dibayangi oleh dua lagi calon, iaitu Mohamed Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Saifuddin disebut-sebut akan menentang Wan Azizah, jika ini berlaku bermakna pertandingan bakal sengit,” ujarnya.

Dakwa Syed Ali lagi, Anwar semakin tertekan untuk membuat pilihan sama ada memberikan sokongan kepada Azmin atau pun Wan Azizah.

Dalam masa yang sama jelas beliau, Saifuddin juga turut menjadi ancaman baru kepada Wan Azizah dan ini menggusarkan Anwar.

Syed Ali juga berkata, faktor Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan telah membelakangkan Anwar dalam banyak perkara khususnya bersabit pentadbiran kerajaan negeri Selangor turut menghangatkan pertandingan  kali ini.

Beliau mendakwa, jika Azmin dan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR turut menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR bermakna ‘suara’ Anwar sudah tidak dipedulikan lagi oleh pemimpin parti itu.

Bagaimanapun Syed Ali tidak menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa sudah wujud pakatan antara Abdul Khalid dan Saifuddin untuk menentang Wan Azizah.

Katanya, pakatan seperti itu tidak mustahil kerana Abdul Khalid sememangnya tidak sebulu dengan Azmin yang merupakan anak emas kepada Anwar.

“Ini bermakna sudah ada usaha penolakan secara terbuka terhadap kepimpinan Anwar dalam parti itu,” katanya.