• MUSA AWANG MUSA AWANG
1 / 1
KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah terhadap pentadbiran harta orang Islam.

Presidennya, Musa Awang berkata, sehingga kini pentadbiran harta melibatkan pihak beragama Islam masih diputuskan mahkamah sivil.

Katanya, PGSM telah mengenal pasti beberapa masalah yang timbul berkaitan pentadbiran harta orang Islam.

“Antaranya ialah terdapat empat institusi berlainan yang menguruskan pembahagian harta pusaka iaitu Amanah Raya Berhad, Unit Pembahagian Pusaka atau pejabat tanah, mahkamah tinggi dan mahkamah syariah. Ini menimbulkan kecelaruan dan kesukaran kepada waris beragama Islam untuk menyelesaikan harta pusaka sekiranya berlaku kematian.

“Selain itu, untuk mendapatkan Sijil Faraid, waris dikehendaki membuat permohonan di mahkamah syariah. Ini bermakna, orang Islam terpaksa hadiri dua perbicaraan di tempat berlainan,” katanya semalam.

Katanya, desakan ini juga timbul berikutan banyak produk baru menawarkan kaedah alternatif agihan harta seperti Pengisytiharan Hibah dan Amanah Hibah yang kadang kala tidak mengikut syarak.

“Kita ada menerima aduan berkenaan syarikat yang menipu. Kasihan kepada orang awam yang telah membuat bayaran tetapi tidak boleh mendapatkan dokumen.

“Sehingga kini, belum ada undang-undang berkaitan hibah yang boleh dijadikan panduan waris beragama Islam,” katanya.

Sehubungan itu, PGSM akan anjurkan Konvensyen Peguam Syarie kali ke-3, pada 18 April ini di Bangi bagi kemukakan resolusi tersebut.

Katanya, dalam konvensyen itu, PGSM akan gesa peruntukan kuasa mahkamah syariah keluarkan surat kuasa mentadbir seperti di Sabah diperluaskan ke negeri lain.