• Rafizi Ramli Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki
1 / 1
PETALING JAYA - Sehingga ke hari ini, isu jawatan Menteri Besar Selangor masih belum dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan PR meski pun PRK Kajang sudah berlalu hampir sebulan lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mengesahkan perkara tersebut sambil berkata, hanya kepimpinan tertinggi PR sahaja yang berhak memutuskannya.

"Belum ada sebarang perbincangan tentang jawatan MB Selangor di kalangan pemimpin tertinggi PR sejak PRK Kajang.

"Meski pun kini timbul pelbagai isu dan spekulasi mengenainya, saya yakin ia akan dimaklumkan kepada pemimpinan PR," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar selepas Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memenangi PRK Kajang pada 23 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, kedudukan Adun Pelabuhan Klang itu akan ditentukan menerusi proses tertentu dan keputusan yang dilakukan secara kolektif.

"Saya tiada hak untuk menentukan apa yang akan terjadi kepada seseorang itu, ia mungkin spekulasi semata-mata.

"Saya tidak melihat sebarang implikasi yang akan berlaku jika keputusan itu dibuat kelak," katanya lagi.