• anwar
1 / 1
SHAH ALAM – PKR hari ini menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang gagal untuk menghormati keputusan yang telah dimeterai selepas rundingan bersama gabungan parti yang lain.

Memetik dari satu kenyataan hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua parti komponen PR harus menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh gabungan parti.

“Persefahaman akan hak lantikan Menteri Besar Selangor telahpun wujud di kalangan pimpinan PR, sepertimana PKR juga telah bersetuju akan hak parti-parti lain dalam membuat keputusan yang sama di negeri-negeri lain.

“Setiap parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama. Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa PKR dan Pas tidak akan berpecah dari gabungan PR hanya semata-mata kerana isu Menteri Besar Selangor yang dibangkitkan baru-baru ini.

“PR tidak akan berpecah semata-mata kerana pilihan calon Menteri Besar. PR boleh dan akan hanya berpecah sekiranya ada parti komponennya yang sanggup berkompromi dalam prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban di dalam pengurusan kerajaan.

“Kita yakin bahawa isu ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat PR, sama ada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya,” katanya lagi.