7/08/14
Isu hutang Bank Islam, Ecoworld: Rafizi cabar Khalid saman
KUALA LUMPUR 7 OGOS: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mencabar
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tindakan saman terhadapnya
berhubung isu penyelesaian hutang Menteri Besar Selangor itu dengan
Bank Islam.
Rafizi berkata, tindakan Khalid membawa perkara itu kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai kerana integriti badan
itu yang sukar dipercayai.
“Oleh sebab itulah, saya tidak hairan beliau menghantar laporan KEADILAN
kepada SPRM kerana beliau sendiri tahu sukar untuk SPRM mengambil
sebarang tindakan terhadap beliau.
“Rakyat juga tidak akan lupa bahawa dalam kes penyelewengan dana NFC
pun, SPRM dari awal-awal lagi mengumumkan bahawa ia bukan rasuah dan
Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak bersalah,” katanya.
Menurut Rafizi, sehingga kini Khalid tidak mengambil sebarang tindakan
mahkamah terhadap beliau dan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail ekoran dakwaan itu.
“Saya percaya, ini kerana beliau tidak mahu memberi keterangan bersumpah
di mahkamah mengenai perjanjian rahsia beliau dengan Bank Islam,”
katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, setiausaha sulit Khalid, Mohamad Yazid Bidin, membuat laporan
kepada SPRM supaya menyiasat isu berkenaan seperti didakwa KEADILAN
sebelum ini.
Rafizi berkata cara terbaik bagi Khalid adalah mendedahkan secara
terbuka terma perjanjian antara beliau dan Bank Islam yang
membolehkannya tidak perlu membayar sebanyak RM70 juta secara tiba-tiba.
Rafizi juga menuntut Khalid menjelaskan kenapa syarikat dikuasai Tan Sri
Rashid Manaf , Ecoworld Berhad mendapat manfaat beratus juta ringgit
daripada kerajaan negeri dalam tempoh sebulan selepas hutangnya
diselesaikan di luar mahkamah pada 13 Februari 2014.
Rashid adalah orang tengah yang merundingkan penyelesaian hutang berkenaan dan merupakan bekas peguam kepada Tun Daim Zainuddin.
Pada 19 Mac, Ecoworld membeli 308.72 ekar tanah daripada Tropicana
Corporation Berhad yang sebelum itu dibeli daripada kerajaan negeri
Selangor.
Manakala pada 25 Mac, Khalid menandatangani MOU dengan syarikat itu bagi
menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa bernilai RM591
juta.
0 orang berkata:
Post a Comment