• Muktamar
1 / 1
KULAI JAYA - Perwakilan Muktamar Dewan Ulama Pas ditegur supaya tidak melabelkan sesama sendiri dengan gelaran 'munafik' bagi menjaga martabat dan kedudukan ulama dalam parti itu.

Perwakilan Johor, Mohd Kassim Maidin menegaskan, sekiranya panggilan negatif itu dipraktikkan dalam Muktamar itu, ia tidak ubah seperti mesyuarat agung tahun parti komponen BN.

"Kita tidak duduk dalam Perhimpunan Agung Umno, Dewan Ulama Pas adalah tinggi darjatnya di sisi manusia, menjadi pelindung dan penegak kepada manusia dan bukan keluarkan dari Islam.

"Bila berbahas sebagai seorang yang berilmu, bukan emosional, kita kena ingat kita adalah orang mewakili umat Islam seluruh Malaysia.

"Apabila berbahas dan selesaikan sesuatu isu, jangan timbul isu baharu dan kena kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah," katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Kassim juga menegaskan ulama tidak terpengaruh dengan laporan berita selain lidah rasmi parti itu, iaitu Harakah.

"Bila berbahasa mana al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak, tapi hanya kemarahan, bukan terpengaruh dengan surat khabar bukan milik kita," ujarnya.

Beliau menegaskan lagi, ahli dan pimpinan Pas juga diberi amaran supaya tidak mudah mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Mulut jemaah Pas jangan mudah-mudah keluar (media), kenapa dalam satu-satu isu kita tidak menunggu pemimpin tapi kita yang memimpin.

"KIta diperingkatkan menjadi kewajipan taat kepada pemimpin melainkan perkara mungkar sehingga nama baik presiden dimalukan, boleh tegur tapi bukan di media sosial," katanya lagi.