Sallehen Mukhyi nafi jadi pilihan istana
BATU PAHAT - Exco Negeri Selangor Sallehen Mukhyi menafikan beliau
menjadi pilihan Istana Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya (1) Pas Selangor, dikerumuni
wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja, hari
ini.
"Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor
yang baharu). Saya tidak ada maklumat lagi. Isnin pagi atau Selasa akan
dimaklumkan. Yang pasti bukan saya," katanya.
Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon pilihan Pas untuk
menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar ialah Dr Ahmad Yunus
Hairi dan Iskandar Abdul Samad, kedua-duanya exco negeri.
Iskandar juga merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor. Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani hari ini
mengesahkan majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baru, bakal
diadakan Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang.
Kenyataan daripada Istana Selangor itu bakal menandakan berakhirnya krisis berpanjangan jawatan Menteri Besar Selangor.
Sallehen juga berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu
diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut
jawatan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Kita berharap ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita
tiada forum atau ruang yang terbaik kecuali rakan-rakan dalam Pakatan
Rakyat terima pilihan Istana (Selangor)," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment