• Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARUFUDIN Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARUFUDIN
1 / 1
KUALA KUBU BHARU - Ahli Umno Selangor perlu meningkatkan iltizam dan punyai semangat juang yang tinggi selain optimis dalam usaha merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
  
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu emosi atau terikut-ikut dengan senario politik yang kini melanda Selangor.
  
"Ada pihak yang mungkin cuba nak menuding jari kepada kita, tetapi setakat ini mereka tidak berjaya kerana masalah (pemilihan menteri besar baharu) itu bukan timbul daripada Umno, ia datang daripada (masalah) dalaman parti mereka sendiri," katanya.
  
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Selangor di sini hari ini.
  
Hishammuddin juga mahu melihat anggota parti merapatkan saf, memperkukuh kesetiaan, kejujuran, keikhlasan dan niat bagi meneruskan perjuangan parti.
  
Beliau berkata elemen itu penting untuk mempertahan warisan perjuangan Umno terutama dalam membina bangsa dan negara.
  
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor Mat Nazari Ahmad Dahlan berkata pihaknya mengetengahkan pelbagai usul, antaranya menyeru semua pihak supaya tidak terikut emosi sehingga menghina institusi raja. - Bernama