• Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya
1 / 1
SHAH ALAM - Perkasa Selangor mengecam sekerasnya tindakan kumpulan liberal dikenali Sister In Islam (SIS) memfailkan semakan kehakiman ‎terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat.

Yang Dipertuanya, Abu Bakar Yahya berkata, keputusan berkenaan dibuat Julai lalu oleh bijak pandai dalam agama dan profesional yang berlandaskan al-Quran dan hadis sehingga menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman 'liberalisme' dan 'pluralisme' agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam adalah tepat pada masanya.

"Kita khuatir kumpulan seumpama terus dengan agendanya menjatuhkan Islam dengan terancang. Ini adalah soal agama Islam dan akidah, bukannya masalah budaya yang boleh dilewatkan. "Perancangan licik mereka menarik golongan muda amat ditakuti kami kerana kumpulan ini lebih mudah terpegaruh dengan mereka (orang muda)kerana suka ambil mudah dalam soal agama," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan SIS yang memfailkan semakan kehakiman ‎terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai fahaman sesat, 31 Oktober lalu.

SIS menamakan tiga responden, Jawatankuasa Fatwa‎ Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.

SIS dalam permohonannya mahu ‎membatalkan pengisytiharan fatwa itu, sebaliknya mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.

Katanya, perbuatan mencabar di mahkamah larangan fatwa Selangor itu juga jelas melanggar kesucian Islam dan satu tindakan yang amat biadap terhadap agama.

"Malahan cuba mendaftarkan pertubuhan haram itu mengikut akta syarikat memperlihatkan mereka cuba menghalalkan semula SIS yang telah diharamkan.

"Sebagai Islam, kita hendaklah bersatu hati mempertahankan Fatwa Selangor itu dari dicabuli, ketepikan seketika sentimen politik baik Umno, Pas mahupun PKR. Pertahankan agama, perpecahan kita merancakkan lagi perancangan mereka menghancurkan kita sesama sendiri," katanya.
Abu Bakar berkata pegangan yang dibawa kumpulan ini juga jelas bertentangan dengan kepercayaan, pegangan, syariat dan manhaj Islam sebenar.